Aku Blogger

Aku Blogger
Aku Blogger

Tuesday, December 3, 2013

Membedah Demokrasi

Oleh: Mohamad Sabu

TV3, Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar yang dimiliki atau cenderung kepada Umno dan Barisan Nasional menjadi heboh, gegar gempita apabila Selangor melalui Dewan Undangan Negeri meluluskan tangga gaji dan elaun baru MB, Exco, Adun dan juga Speaker.

Inilah tabi’at pemikiran rakyat Malaysia terutama media pendokong Barisan Nasional, mereka tidak mejadikan media sebagai alat untuk menentang rasuah dan penyelewengan.

Gaji atau Elaun yang diperolehi oleh Adun, Exco dan Menteri Besar di Malaysia tidaklah tinggi. Kita menentang penyelewengan dan rasuah, bukan soal gaji dan elaun. Kita mengkritik Ketua Menteri Sarawak bukanlah di atas gaji dan elaunnya. Tetapi penyalah gunaan kuasa beliau sebagai Ketua Menteri memperkayakan diri dan kaum keluarga, sehinggakan beberapa pihak di peringkat antarabangsa membuat penyelidikan, yang beliau memiliki harta ber “billion” ringgit.

Sepatutnya media mesti menumpukan soal laporan audit negara, soal ketirisan yang begitu ketara, yang menyebabkan negara menuju kepada kebangkrupan, jikalau tidak ada kawalan. Bagaimana wang PPRT disalahgunakan suatu ketika dahulu, sehinggakan seorang pegawai tinggi di kementerian telah didakwa di mahkamah. Bagaimana suatu ketika dulu “maggie” yang berharga lebih kurang 0.30 sen untuk satu bungkus, Kementerian Pertahanan telah membelinya dengan harga melebihi RM2.00.

Laporan terbaru yang menyatakan bahawa jam dinding yang berharga di sekitar RM100 ke RM200 , kerajaan telah membelinya dengan harga RM3000.00. Pembaziran-pembaziran ini berlaku sepanjang masa, sepanjang zaman di Malaysia, di mana pendedahan dibuat oleh Jabatan Audit Negara sendiri. Inilah yang disebut “ketirisan” ataupun salah guna wang, di mana dalam tempoh satu tahun lebih kurang RM20 Billion. Bukan kerana gaji Menteri Besar, gaji ADUN, atau gaji wakil rakyat.

Indeks rasuah dalam negara kita di tahap 4.3 / 10, satu angka yang amat memalukan jika dibandingkan dengan negara jiran iaitulah Singapura yang mencatitkan indeks rasuah ataupun Transperasi International Index iaitu 9.5 / 10, iaitu negara yang ketirisannya amat rendah di dalam dunia ini.Gaji dan Elaun menteri dan ahli parlimen Singapura begitu tinggi, bahkan mengatasi sebahagian negara-negara Eropah, tetapi mereka buktikan dengan kerja mereka, iaitu menjaga wang rakyat dengan begitu baik dan ketara.

Semasa saya menjadi ahli parlimen dahulu, berada di parlimen, setiap hujung bulan, kita menjenguk untuk melihat samada elaun sudah masuk atau tidak. Tetapi saya melihat wakil-wakil rakyat Barisan Nasional tidak peduli hal elaun itu, kerana sebahagian dari mereka mendapat wang dengan cara jalan yang lain, samada melalui projek-projek atau samada melalui proksi dan sebagainya. Ini adalah satu amalan yang tidak baik, yang menyebabkan berlaku rasuah dan ketirisan yang begitu ketara.

Rakyat Malaysia dan juga media mesti memainkan peranan, misalnya menekankan soal layakkah isteri Perdana Menteri menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk lawatan ke luar negara dengan perbelanjaan ratusan ribu? Layakkah Perdana Menteri misalnya menggunakan jikalau ada mesti diselidiki, contohnya apakah sambutan hari jadi keluarga menggunakan wang kerajaan?

Perbelanjaan ke luar negara yang begitu tinggi telah didedahkan dalam parlimen. Apakah beliau (Perdana Menteri) berbelanja dengan betul atau membawa para pegawai yang tidak berkenaan? Semuanya ini perlu dibongkar oleh media, supaya wang kerajaan hendaklah dibelanjakan dengan betul, bukan soal cadangan gaji dan elaun yang diperolehi oleh wakil rakyat di Selangor.

No comments:

Post a Comment